Kata orang, apabila sesebuah buku telah diterbitkan, buku itu menjadi milik khalayak dan penulisnya sudah tak ada hak terhadapnya lagi. Saya setuju. Kata orang lagi, setelah buku diterbitkan, sering kali penulisnya tidak berpuas hati dengan sesuatu bahagian bukunya. Atau seluruh bukunya. Saya setuju.
Ada tak yang saya tak puas hati dengan buku CBDM 17?
Ada banyak.
Namun yang paling saya rasa terkilan ialah kesudahan episod “Akademi Funtusia” yang saya anggap terlalu “jinak” berbanding dengan seluruh ceritanya yang agak ganas.
Elok usah saya ceritakan kesudahan episod itu di sini… takut merosakkan suspense bagi mereka yang belum membacanya. Namun saya memang tidak puas hati kerana cerita itu berakhir begitu.
Saya mahu cerita itu berkahir dengan pemenangnya menerima hadiah… noktah… dan peserta-peserta lain dibiarkan lenyap begitu sahaja. Lebih brutal begitu!
Dan kesudahan cerita itu, seperti dalam buku CBDM 17 sekarang, tidak memungkinkan Akademi Funtusia siri ke-2 diadakan! (Penonton rancangan TV realiti itu sudah tahu muslihat penerbit dan dah tak suspense lagi).